Nama lengkap ulama yang menetap di Muar ini ialah Tuan Guru
Haji Muhammad Yassin bin Muhammad. Diriwayatkan beliau berasal dari Siak,
Sumatera. Tuan Guru Haji Muhammad Yassin lahir pada tahun 1902 Masehi dan
meninggal dunia ketika berusia 73 tahun di Muar, Johor.
Tuan Guru Haji Muhammad Yassin adalah seorang pendakwah dan
guru yang sangat gigih. Beliau banyak mengajar di daerah Muar seperti di Masjid
Jamek Muar, Masjid Parit Jamil, Masjid Seri Menanti, Masjid Bukit Gambir, Masjid
Bukit Kangkar dan Masjid Sungei Mati Muar.
Adakalanya, beliau mengajar sampai ke Chohong Melaka yang
merupakan sempadan antara Melaka dan Muar. Pengajaran beliau kebanyakannya
tertumpu kepada kitab-kitab Tasawwuf dan Ilmu Tauhid.
Tuan Guru Haji Muhammad Yassin menadah kitab kepada ulama
besar Muar satu ketika dahulu iaitu Tuan Guru Haji Abu Bakar bin Haji Hasan
al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar
Maharani, Johor. Beliau dikatakan telah berhasil mengkhatamkan beberapa kitab
terkenal di Alam Melayu dibawah pengawasan gurunya itu.
Antara kitab yang berjaya dikhatam dihadapan gurunya itu
ialah Faridatul Faraid karangan masyaikh gurunya iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani
yang sangat terkenal di Alam Melayu pada abad ke-19 Masehi. Gurunya iaitu Tuan
Guru Haji Abu Bakar inilah yang banyak mempengaruhi corak pemikiran beliau.
Pandangan beliau terhadap gurunya seperti yang dicatatkan
oleh almarhum al-Ustaz Haji Wan Mohd Saghir Abdullah diungkapkan seperti
berikut,
“Ketika aku akan belajar ilmu kemegahan dunia di Sumatera,
setelah diketahui oleh Abu Bakar Alim, aku lalu dinasihatinya supaya belajar
kepada beliau sahaja. Sekiranya aku melanggar nasihat beliau, mungkin aku
menjadi seorang yang jahat.” KREDIT FB HANIFF TALIB.
click the icon and copy the shortcode
To insert emoticon you must added at least one space before the code.