Selepas meluahkan hasrat menyaman seorang pengikut Instagram
yang memanggil anaknya beruk, penyanyi Black Hanafiah mendedahkan pula identiti
indivdiu berkenaan adalah seorang pelajar universiti.
Black atau nama sebenarnya, Hanifah Hanafiah, 28, berkata,
individu tersebut yang merupakan seorang lelaki digesa untuk membuat permohonan
maaf secara terbuka secepat mungkin sebelum tindakan selanjutnya diambil.
"Sekarang ini saya sudah mengetahui identiti individu
yang menghina anak saya dan dia sendiri pun sudah tahu siapa orang yang saya
maksudkan selama ini.
“Jika dia masih berdegil untuk tidak membuat apa-apa
permohonan maaf, tindakan undang-undang terhadapnya akan segera diambil,"
katanya kepada mStar Online ketika dihubungi, di sini, Selasa.
Black sebelum ini membuat laporan polis selepas seorang
pengikut Instagram miliknya menggelarkan anak dia, Khaleef Dayyan yang lahir
pada Januari lalu dengan panggilan beruk.
Dalam pada itu, Black berkata, dia memandang perkara itu
sebagai serius kerana ia melibatkan anaknya dan menganggap individu terbabit
cuma ingin mendapat publisiti murahan melalui komen di Instagram yang
diberikan.
"Walaupun perkara ini dianggap remeh oleh sesetengah
pihak tetapi bagi saya ia adalah suatu perkara yang serius kerana ia melibatkan
maruah anak saya.
"Individu terbabit cuma menginginkan publisiti murahan
saja dan sekarang saya beri dia peluang untuk mendapat publisiti tersebut
dengan membuat permohonan maaf secara terbuka," tegas Black.