PERTEMUAN ini diatur di Coffee Bean Plaza Pelangi, Johor
Bahru pada petang Ahad minggu lalu. Lokasi yang sering dikunjungi eksekutif
muda di bandar raya ini dipilih sendiri oleh Tunku Aminah Maimunah Iskandariah.
Gadis ini ternyata mahu sembang santai mengenai produk
kecantikan jenamanya sendiri, Luvins, begitu juga kehidupan peribadinya sebagai
puteri tunggal Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar.
Tunku Aminah bakal muncul dengan Luvins dalam masa terdekat,
dengan beliau bertindak sebagai pengarah dan pereka produk.
Dari sisi rakyat jelata, cucunda Sultan Johor ini sudah
memiliki segala-galanya sesuai status seorang puteri diraja. Ringkas cerita,
apa saja yang beliau hajati boleh dipenuhi dengan mudah oleh si ayahanda.
Namun sinar matanya memberitahu beliau seorang yang obses
dengan kehidupan dan fokus terhadap cita-cita. Malah menurut Tunku Aminah,
ayahandanya selalu berpesan supaya beliau sentiasa mencari peluang untuk
mendapatkan wang sendiri dan tidak hanya berpeluk tubuh.