Seksa sebelum ajal.. | Polis Bangladesh memburu sekumpulan
lelaki yang membelasah seorang budak lelaki berusia 13 tahun hingga menyebabkan
kematiannya serta merakam perbuatan kejam mereka di Sylhet, utara negara itu.
Dalam video sepanjang 28 minit itu, budak malang itu merayu
meminta air ketika dia terbaring tidak bermaya. Video berkenaan yang menjadi
viral di internet, mencetuskan bantahan besar-besaran.
Menurut polis, bedah siasat mendapati mangsa yang diberi
nama Samiul Alam Rajon mengalami kecederaan pada seluruh tubuhnya, termasuk di
kepala dan dada. Dia mati akibat pendarahan dalaman.
“Samiul Alam Rajon MATI pada 8 Julai akibat dibelasah tanpa
belas kasihan. Tubuhnya ada 64 kesan luka termasuk di kepala,” kata ketua polis
tempatan, Alamgir Hossain kepada AFP.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal,
berkata polis sudah menahan dua orang berhubung pembunuhan itu dan sedang
mencari empat lagi.
“Mereka akan ditahan dan menerima hukuman berat,” katanya.
Ketua kumpulan itu, Muhit Alam, direman lima hari mulai
Isnin, untuk siasatan kerana membunuh. Dia ditahan ketika mahu membuang mayat
mangsa di satu kawasan terpencil.
Samiul berkerja menjual sayur sambilan selepas berhenti
sekolah bagi membantu keluarganya yang miskin dan menurut polis, kumpulan itu
mengikatnya pada tiang selepas menuduhnya mencuri – dakwaan yang dinafikan
keluarga budak itu.
“Anak saua bukan pencuri. Saya mahukan keadilan untuk
pembunuhannya,” kata ibunya, Lubna Aktar.
Dalam video itu, budak berkenaan yang ketakutan menjerit
kesakitan dan berkata berulang kali:’ Tolong jangan pukul macam ini, saya mati
nanti.”
Penyerangnya pula kedengaran cuba memaksanya mengaku
terbabit dalam kecurian.
Pada satui ketika dia disuruh pergi tetapi ketika dia cuba
bangun, seorang penyerang berkata: “Tulangnya masih elok, pukul dia lagi.”